Saturday, February 21, 2009

SIAPAKAH AKU?

Adalah diharapkan semoga E-Book ini akan dapat memberikan pengetahuan tentang diri manusia terutamanya diri kita sendiri.

Manusia sering menggunakan perkataan “aku” sebagai ganti nama diri di dalam perbualan seharian. Di dalam bahasa Arabnya, ia disebut “Ana”, di dalam bahasa Inggerisnya ia disebut “I” atau “me”. Di dalam bahasa Mandarinnya pula ia disebut “Woo”.

Walaupun ia disebut di dalam berbagai-bagai bahasa, tetapi ertinya di dalam bahasa Melayu tetaplah dipanggil “Aku”.

Jadi ! Siapakah AKU itu?

Untuk tuan-tuan memahami dan mengenalinya, justeru itu saya ingin menasihatkan agar e-book ini dibaca dan difahami sehingga ke akhirnya. Sekiranya terdapat sebarang masalah kefahaman yang masih lagi sukar untuk saudara-saudara memahaminya maka adalah diharapkan bahawa para pembaca sekalian menghubungi dan bertanyalah kepada penulis sendiri sekiranya masih hidup. Sekiranya pada waktu itu penulis sudahpun tiada lagi maka dinasihat dan disarankan agar bertanya sendiri kepada sahabat-sahabat penulis yang sealiran dengan penulis. Saudara-saudara juga boleh bertanya kepada sesiapa sahaja yang mahir dan mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai ilmu mengenal diri. Amin. Amin Ya Rabbal A’lamin.

SEBAHAGIAN DARI PETIKAN BAB PENGENALAN E-BOOK UNTUK DIRENUNGI

Kalaulah hendak berjumpa dengan aku, sebutlah sahaja namaku dan pandanglah wajahku melalui sifat ku. Sesungguhnya aku wujud pada nama ku dan kepada wajahku tempat dipandang kenyataan diriku. Nama aku dan wajahku itu sebenarnya bukanlah diri aku, malah kedua-duanya adalah alat untuk menunjukkan keberadaan diriku.

Aku sebenarnya bersatu dengan namaku dan juga wajahku tetapi aku dan wajahku tidaklah bersekutu. Contohnya sepertimana bersatunya gula, kopi, susu dan air di dalam sebuah cawan. Semua unsur-unsur ini bersatu tetapi tidaklah bersekutu.

Bagi menjelaskan lagi secara lanjutnya, maka gula itu bukanlah kopi, manakala kopi itu bukanlah susu, dan susu itu bukanlah air, dan air itu bukanlah cawan dan cawan itu pula bukanlah gula.

Apabila gula, kopi, susu dan air itu telah bersatu di dalam sebuah cawan maka apakah pula yang menyebabkan orang suka dan berminat untuk meminumnya?

Adakah orang suka kepada gula, suka kepada kopi, suka kepada susu, suka kepada air ataupun suka disebabkan cantiknya cawan? Baiklah, jawapannya tentulah tidak. Ini kerana kesemua unsur-unsur tersebut tadi tidak akan memberikan sebarang erti bagi orang yang meminumnya sekiranya tiada mengandungi “rasa manis”.

Tarikan yang ada pada rasa manis tersebut telah menyebabkan peminumnya menjadi lupa kepada kopi, susu, gula, air dan cawan.

Rasa manis tersebut adalah merupakan rahsia yang tersembunyi didalam secawan kopi.

Di dalam rasa manis itu pula, terkandungnya nikmat tuhan yang telah menyebabkan orang yang meminumnya mendapat rasa kepuasan dan nikmat tuhan inilah dipanggil rasa sedap.

Bagi merumuskan perkara di atas, kita dapati bahawa:

iv. Rasa manis itu adalah nama bagi diri iaitu “Rahsia”
v. Kopi, gula, susu, air dan cawan adalah wajah ataupun sifat.
vi. Rasa sedap atau lazat itu adalah kelakuan ataupun af’al.

Manusia mampu untuk menerangkan berkenaan dengan kopi, gula, susu, air dan cawan tetapi manusia tidak akan mampu untuk menerangkan perihal tentang diri iaitu rahsia yang bernama rasa manis itu.